Thursday 14 April 2016

PENGALAMAN PENCETUS ILHAM

UMRAH PERTAMAKU

Setiap insan yang beragama Islam pasti mempunyai keinginan untuk mengunjugi Masjid AL-Haram. Begitu juga dengan diriku. Pada 2010 aku telah berangan-angan untuk ke Masjid al-Haram atau dengan kata lain nak ke Mekah la. Mana tak nya, tempat lain telah ku lawati, sedangkan Mekah belum lagi sampai. Tapi terkadangan kita ni hanya merancang, yang menentukan hanya Allah. Maka, dipendekkan cerita aku gagal pergi pada tahun 2010 tersebut. Kegagalan boleh disebabkan oleh pelbagai punca. Ada kala ujian kita dari segi kewangan, ada kala kesihatan dan adakala pelbagai masalah lain. Namun, itu semua penyebab belaka. Yang sebenarnya kita belum diizinkan Allah. 

@Masjid al-Haram, 2012
    Aku memujuk hati menerima hakikat aku belum bisa menunaikan umrah pada 2010. Tetapi memasang niat sekali lagi...Hahaha...aku berjaya pada 2012, tapi berjaya dengan wang yang mencukupi untuk tiket dan hotel sahaja. Bagaimana dengan perbelanjaan aku di sana. Allahuakbar. Minta mak? Minta rakan? Minta suami? Cukuplah apa yang ada. Aku bertawakal dan terus berdoa moga-moga ada rezeki tiba2 datang bergolek.

      Ada ke ya rezeki datang bergolek? Ada kut. Tapi ni bergolek sebab dulu tertangguh. Tiba-tiba aku mendapat bayaran dari kerja consultasi yang pernahku kerjakan beberapa bulan yang lalu. Beberapa hari sebelum aku berangkat ke Mekah aku mendapat bayaran konsultasi berjumlah jeng3...RM8000.00. Syukur ya Allah. Ditangguhkan bayaran kerana Dia maha tahu bila wang itu sangat2 diperlukan. Betulkan  Allah lebih tahu segalanya dari apa yang kita tahu. Jadi kalau kita tak dapat sesuatu yang kita inginkan pada masa ini, jangan merungut. Tapi terus bersyukur. Kerana benda atau perkara yang kita inginkan itu, mungkin tidak baik untuk kita. Atau mungkin lebih baik kita peroleh pada masa hadapan. Maka Allah tidak izinkan atau melambatkan kita memperolehnya.

Ya, Ketika hendak mengerjakan umrah untuk pertama kalinya agak kepeningan apakah yang harus dibawa. Sememangnya teman, aku mempunyai pakaian yang cukup banyak, pastinya teman2 juga begitu. Harus apakah pakaian yang perlu ada? Akhirnya keputusan nekad ku ambil dengan hanya membawa beberapa helai jubah. Seingatku dalam 5 helai untuk 12hari berada di tanah suci. Ternyata tindakanku tindakan yang bijak. Cukup dengan berbekalkan 5 helai jubah. Dan 3 helai telekung, 2 helai seluar panjang putih dan beberapa helai stoking. Ku bawa juga barangan mandian, sikat dan bedak seadanya. Beberapa buku doa. Ringkas sungguh persiapanku.

Aku penuh tekad ingin ke tanah suci untuk beribadah semata-mata. Tiada istilah shooping. Kalau nak berbelanja pun sedikit di Madinah untuk buah tangan keluarga. Memang itulah yang berlaku akhirnya. Nafsu berbelanjaku terbantut. Cuba membeli buah tamar, beberapa jubah untuk ibu dan anak2. Untuk sang suami ku belikan sejadah. Aku pergi bertemankan rakan kerana ketika itu anak masih kecil dan perlu dijaga oleh seseorang (sang suami lah yang kena dikorbankan/terkorban dibantu oleh ibu).

Sesampai di Lapangan Terbang Jeddah, kami tidak dibenarkan solat kerana perlu segera sampai ke Madinah. Tidak pasti jam berapa rombongan kami sampai ke Madinah kerana agak lewat tapi sebelum subuh kami telah sampai. Kami berhenti solat dipertengahan jalan. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke Madinah tidak sedetik pun aku terlelap. Aku terlalu ternanti2 untuk sampai ke Madinah.

Sebaik sahaja bas betul2 berhenti di tepi bangunan hotel, aku terus turun kerana aku duduk dikerusi paling hadapan iaitu di belakang pemandu. Aku turun dan tidak menghiraukan barang yang berada di perut bas tetapi sebaliknya terus meluru untuk melihat Masjid Nabawi. Bercucuran air mataku jatuh dipipi melihat Masjid Nabawi. Hatiku berkata sampai juga aku ke sini dan pasti ada kesempatan untuk ku bersembahyang di dalamnya dan melawat makammu ya Rasullullah. Memang tidak sabar rasanya.
Selesai berbicara kecil di hati dan setelah mengusap air mata aku kembali ke bas dan mendapatkan barangan yang di bawa. Terus ke lobi hotel untuk mendapatkan bilik bersama dengan rakan rombongan yang lain. ..... Dipendekkan cerita aku terus ke bilik membersihkan diri dan sempat solat subuh berjemaah di Masjid Nabawi. Pada paginya pula selepas makan pagi kami dibawa ke Raudah. Sukar sekali untuk solat di Raudah.Mujur teman yang bersama dengan ku telah ada pengalaman di Tanah Suci. Maka dialah yang banyak membantu diriku. Sempat 2 kali aku solat di kawasan Raudah. Alhamdulillah. Ditengah2 himpunan ummat yang terlalu ramai.Hanya Engkau yang tahu ya Allah. Dan dengan izinmu segalanya boleh berlaku.

Dipendekkan cerita lagi...aku merasa begitu nikmat solat di Masjid Nabawi, beruntung dan bersyukur dapat menziarah makam Rasullullah dan membacakan surah mahupun tasbih dan selawat ke atas baginda dan ahli keluarga walau dari kejauhan. Ini kerana telah ada halangan antara ruangan wanita untuk ke makam Rasullullah. Ya Allah, menziarah makamnya telah, maka dengan rahmatmu temukan daku dengan kekasihmu diakhirat kelak dan mendapat syafaatnya. Segalanya mungkin dengan ehsanMU ya Allah. Kekurangan yang ada pada diri membuatkan jalan hidup didunia dan akhirat pasti berliku. Namun, ku pintakan ehsanmu ya Allah untuk membantu pada setiap detik dan ketika. Lebih2 lagi di akhirat kelak.

Setelah 3 hari di Madinah akhirnya rombongan bertolak ke Mekah al- Mukarramah. Kami bertolak sedikit lewat dan tiba di Mekah sekitar waktu Asar. Sesampai di Mekah setelah urusan penginapan selesai kami terus melakukan umrah untuk kali pertama kerana kami telah solat asar dan niat (miqat) semasa dalam perjalanan. Jadinya kami terus melakukan tawaf, sai'e dan tahallul. Rukun Umrah dilakukan dengan baik sekali dengan bimbingan muttawif (Niat, Tawaf, Sai'e, Tahallul, Tertib). Alhamdulillah kami sempat menyelesaikan umrah pertama. Kami juga sempat berjemaah Maghrib dan Isyak pada hari tersebut.

Pada hari-hari lain, rutin diteruskan sama seperti hari pertama selain di bawa pergi ziarah beberapa masjid dan tempat bersejarah. Kalau dulu sekadar membaca di dalam buku Sejarah Islam tetapi kali ini kaki pula melangkah ke tempat tersebut.

Pada kunjungan ini sempat oleh ku solat di tempat2 yang menjadi tumpuan (mustajab doa) antaranya di Multazam iaitu antara Hajar Aswad dan pintu kaabah, di belakang makam Nabi Ibrahim, hijir Ismail dan di bawah pancuran emas dan berdoa sekitar rukun yamani. Banyak lagi tempat lain dikatakan mustajab doa, tapi oleh kedangkalan ilmu tidak semua ku lakukan. Namun, yang paling menjadi impianku dan akhirnya terkabul, aku berjaya mencium Hajarul Aswad. Hajarul Aswad... Hajarul Aswad... Hajarul Aswad...tidak tahu bagaimana untuk aku gambarkan...biarkan Allah sahaja yang tahu perasaanku dan syukurku. Berdoalah dengan ikhlas untuk menciumnya, inshaallah diperkenankan Allah.

Buku Travelog Haji oleh Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim banyak membantu aku yang tidak mempunyai pengalaman di Tanah Suci Makkah
Masa pantas berlalu...7 hari di Mekah berlalu dengan pantas. Ada kalanya terlalu singkat sahaja masa berehat dan bersembang dengan rakan rombongan. Dengan rakan sebiliknya juga seperti tiada masa bersembang. Kalau ada yang hendak dibualkan pun pasal anak dan pakaian yang kami pakai. Pelek kan. Sembang pasal telekung dan jubah. Mana tak nya, ada juga rakan2 di tanah air yang meminta agar telekung yang dipakai di tanah suci tidak dibasuh tetapi sebaliknya terus dihadiahkan kepada mereka. Nak cium bau di tanah suci kata mereka. Begitu lah antara alkisahnya. Betapa terlalu ramai yang ingin mengunjunginya. Tapi masih belum mendapat izin dari pemilikNya. Cukup sekadar mencium harumannya sebagai tanda pengubat jiwa.

Setelah cukup tempoh yang diperuntukkan maka akhirnya aku dan ahli rombongan mengerjakan tawaf yang berat untuk dilakukan iaitu tawaf wada atau wida'. Dengan tawaf ini bermakna aku harus memeinggalkan kota Mekah yang telah menambat hatiku. Maka dengan itu bercucuran lah lagi air mataku. Malah...di kota Mekah ini setiap kali aku memasuki Masjidil Haram, setiap kalilah airmata menitis, dalam takbir, dalam fatihah, dalam rukun, sujud dan sebagainya. Mashaallah...Dengan perpisahan ini bilakah lagi dapat aku menerima jemputanMu ya Allah.

Ya, hingga ke saat ini...aku masih belum menerima undanganmu lagi ya Allah. Apa harus ku lakukan. Selalu ku fikir2kan...dan akhirnya aku bertekad, jika terlalu lambat untuk aku menerima undangan, apa kata kalau aku mengirimkan keringatku, idea/ilhamku atau apa sahaja yang boleh dibawa oleh para jemputanmu untuk ke tanah suci. Bermula dari situ, aku berjinak2 mencipta pakaian yang dapat digunakan oleh jemaah. Sekitar 3-4 bulan mereka2 jubah dan tudung dibantu oleh teman baik (As n Yup) akhirnya terilham Jubah dan Tudung Ready2Solat yang sangat sesuai benar dipakai oleh jemaah wanita untuk ke Tanah Suci.

Syukur ya Allah...aku tidak dapat selalu menerima undanganmu tetapi jubah dan tudung rekaan ku dan rakan2 yang membaluti tubuh jemaah yang menjadi tetamu Mu ya Allah hadir di tanah suci. Terima kasih ya Allah kerana memberikan ilham untuk aku/kami dan membolehkan aku/kami sentiasa rasa bersamaMu walau dalam dimensi yang berbeza.

Moga kami terus diberikan ilham untuk masa-masa akan datang. Menghasilkan design terbaik untuk menutupi tubuh kami dan menutupi tubuh wanita2 yang engkau citpakan dengan lebih baik lagi dan mendapat keredhaanmu. Ya Allah, terima kasih/syukur ya Allah di atas rahmat dan kurniamu. Moga aku dan sekalian makhluk ciptaanmu terus berada dalam rahmat dan perlingdunganmu. Hidup dan mati atas namamu ya Allah. Aamiin amin ya rabbal alamin.

 Salam dari ELZ Medinaa Collections

No comments:

Post a Comment